Seramai 59 PATI di sebuah rumah inap desa yang dijadikan transit menyeludup mereka keluar menerusi jalan laut diberkas dalam serbuan malam tadi.

KUALA LUMPUR – Sebuah rumah inap desa di Jalan Kebun, Shah Alam dijadikan rumah transit kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) akhirnya digempur polis malam tadi.

Pembongkaran itu dibuat menerusi serbuan Op Pintas pada pukul 5.30 petang yang dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, pasukannya menggempur rumah inap desa itu selepas melakukan risikan selama dua hari.

“Hasil serbuan di rumah inap desa itu berjaya membawa kepada tangkapan 59 warga asing termasuk 12 wanita yang kesemuanya berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

“Daripada jumlah tangkapan migran itu, lima suspek merupakan warga Bangladesh dan seorang etnik Rohingya manakala selebihnya terdiri daripada warga Indonesia,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Fadil, semakan awal mendapati empat lelaki warga Indonesia yang ditahan dalam kalangan 59 PATI itu berperanan sebagai ejen, penjaga rumah serta pembantu menguruskan kesemua migran untuk keluar masuk secara tidak sah ke dalam negara ini.

Pemeriksaan lanjut polis di rumah inap desa itu juga telah merampas sebuah kereta jenis Honda City, wang tunai RM1,000 serta tiga telefon bimbit dipercayai digunakan oleh sindiket tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua migran itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk dan keluar ke Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan (jalan laut) secara haram.

“Hasil soal siasat awal juga mendedahkan bahawa setiap migran membayar tambang dari harga empat hingga 13 juta rupiah (RM1,500 hingga RM2,000) mengikut kawasan dan ejen.

“Wang dibayar kepada ejen sebelum migran itu akan diuruskan perjalanan haram berlepas ke Tanjung Balai Indonesia dan Dumai melalui laluan tidak diwartakan (perairan Malaysia-Indonesia),” ujarnya.

Tegas Fadil lagi, ejen terbabit dipercayai aktif menguruskan migran keluar masuk Malaysia sejak tiga bulan lalu menggunakan rumah inap desa itu sebagai transit.

Siasatan lanjut pihaknya juga mendapati suspek utama yang berperanan sebagai ejen dan penjaga rumah juga mendedahkan bahawa mereka melakukan aktiviti penyeludupan migran ke Malaysia melalui jalan laut tidak diwartakan dan menerima arahan daripada beberapa orang lelaki Indonesia dengan upah RM500 setiap trip (perjalanan).

Kesemua migran berkenaan yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 19659/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast