NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang maut dalam nahas membabitkan pegawai kanan polis di Ipoh, Perak semalam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, selain keluarga mangsa, khidmat kaunseling juga akan diberi kepada pelajar yang melihat kejadian tersebut.
“Pertama sekali saya mewakili KPM mahu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Dalam konteks KPM, kita akan tawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga kerana tragedi ini amat menyayat hati.
“Selain itu, ada juga anak-anak (pelajar) yang melihat kejadian tersebut jadi khidmat kaunseling akan turut diberikan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Rintis Steam dan Makmal Steam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Eng di Sungai Udang di sini hari ini.
Tambah beliau, Timbalan Menteri Pendidikan (Wong Kah Woh) juga akan menziarahi keluarga mangsa hari ini mewakili KPM.
Mengulas lanjut, Fadhlina turut berharap polis akan menjalankan siasatan segera berhubung kemalangan tersebut.
“Kes ini masih dalam siasatan polis dan kita harap ia dapat dilaksanakan segera,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah terbabit dalam nahas yang mengorbankan pelajar lelaki berusia 17 tahun di Taman Jati, Ipoh, Perak ditahan untuk siasatan lanjut.
Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Zaharif Affendi disahkan maut di lokasi kejadian akibat impak pelanggaran tersebut.
Polis turut menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette