SA Vigneswaran bersama timbalannya, Datuk Seri M Saravanan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat terakhir bagi tahun 2023, hari ini.

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menyatakan sokongan penuh tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ikrar itu berikan MIC walaupun parti terbesar masyarakat India ini tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan selepas rombakan kabinet awal minggu ini.

Kata Vigneswaran, jawatan dalam kerajaan juga bukan keutamaan MIC malah tidak pernah meminta daripada perdana menteri sebelum ini.

“Ada pihak tanya jika kita sedih atau kecewa dengan rombakan ini, pada saya apa yang hendak kita rasa sedih atau kecewa? MIC tidak pernah pada bila-bila masa mengeluarkan syarat akan memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dengan adanya jawatan untuk MIC.

“Kita fokus dalam perkasakan parti terutamanya dalam isu berkaitan pendidikan. Ingin saya tekankan juga, MIC gembira dengan sokongan diberikan oleh perdana menteri yang sentiasa mendengar permintaan kita termasuklah memberikan dana sebanyak RM25 juta bagi membantu pelajar-pelajar kita.

“MIC cukup berterima kasih dengan komitmen ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar lagi-lagi ikrar beliau dalam memastikan segala isu-isu menghantui komuniti India diselesaikan dalam tempoh setahun,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat terakhir bagi tahun 2023, hari ini.

Kata Vigneswaran lagi, MIC akan terus membantu Kerajaan Perpaduan apabila adanya keperluan terutamanya hal berkaitan masyarakat India di negara ini.

Ketika ditanya kebimbangan segelintir masyarakat India rombakan kali ini tidak melantik wakil dalam kalangan masyarakat India bagi jawatan menteri, kata Vigneswaran, Anwar tahu apa yang dilakukan olehnya.

“Masyarakat tidak harus gusar kerana anda telah memilih pemimpin anda pada pilihan raya. Pada saya, pastinya Datuk Seri Anwar mahu mengemudi sendiri isu berkaitan kaum India dan menyelesaikannya dengan cara beliau.

“Kita tidak perlu terus buat apa-apa kesimpulan, sebaliknya biarkan beliau dan pasukan dalam Kabinet terus menerajui pentadbiran Madani ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette