Datuk Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Kenyataan pemimpin DAP agar pillihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) diadakan seolah-olah menunjukkan parti itu masih terbawa-bawa dengan idealisme lamanya dengan desakan-desakan yang berbaur perkauman.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kepimpinan baharu DAP seharusnya membendung cara berfikir Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai itu.

“Jangan ada lagi sebarang usaha untuk membakar dan menyemarakkan rasa benci dan perkauman di antara parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jangan sampai desakan seperti itu boleh ditafsirkan sebagai mencabuli sentimen kaum, agama, raja (3R) yang boleh membawa padah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kok Wai ketika berucap dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur hari ini mencadangkan agar kerajaan memulakan pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu negara.

Mustapha turut menyifatkan cadangan tersebut senada dengan kenyataan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang baru-baru ini bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Beliau menambah, Veteran UMNO kesal dengan kenyataan itu serta berpendapat bahawa tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya PBT.

“Struktur sedia ada dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah mencukupi.

“Kita sudah ada wakil rakyat yang dipilih rakyat dalam pilihan raya bagi mewakili kesemua kawasan Parlimen di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Mustapha berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai ahli-ahli majlis yang dilantik mewakili semua kaum untuk membantu Datuk Bandar.

“Jadi untuk apa perlukan pilihan raya lagi?” soalnya.

Menurut beliau, Veteran UMNO memahami bahawa hasrat DAP itu adalah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai PBT yang diwakili oleh ahli-ahli yang mewakili kaum Cina, khususnya DAP.

Mustapha berkata, sekiranya pilihan raya PBT diadakan maka wakil-wakil kaum Cina akan menang mudah di kawasan majoriti mereka.

“Sekiranya pilihan raya ini dibenarkan di Kuala Lumpur, maka nanti akan ada tuntutan untuk pilihan raya PBT di Pulau Pinang, Ipoh, Klang, Melaka, Johor Bahru dan lain-lain,” katanya. – MalaysiaGazette