Kerja-kerja menanam ceracak sedang giat dijalankan di kawasan perumahan di Jalan Wawasan 3/9 dan 4/9, Taman Wawasan, Puchong, Selangor yang berlaku tanah runtuh pada Sabtu lalu. Foto NUR SYADILA AMARI, 18 DISEMBER 2023.

PUCHONG – Beberapa takungan air telah dikesan di kawasan tanah runtuh di Taman Wawasan 3 di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, kini takungan air itu dibimbangi akan menyebabkan risiko pergerakan tanah sekira berlakunya hujan.

Namun, katanya, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang membuat pemantauan mengesahkan  tiada pergerakan tanah yang signifikan pada hari ini.

“Mengikut JMG,  tidak nampak apa-apa pergerakan tanah yang signifikan cuma masih ada beberapa takungan air di bawah yang kita khuatir sekiranya hujan kemungkinan akan ada pergerakan lain

“Jabatan-jabatan lair seperti JKR (Bahagian Cerun), KPKT (Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan) akan terus memantau keadaan di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati terdapat longkang monsun berhampiran kawasan tanah runtuh berkenaan.

“Tanah-tanah longkang monsun ini tersekat,  jadi ponding (takungan) mungkin menjadi punca.

“JMG ada memberi cadangan untuk mengalihkan laluan air longkang monsun supaya terus ke sungai,” jelasnya.

Tambah beliau, JMG juga menggunakan dron untuk mengesan pergerakan tanah dan retakan rumah di sekitarnya.

Anbalagan berkata, sebanyak enam ceracak besi dipasak hari ini.

“Semalam dipasang 46 jadi sehingga kini ada 52 ceracak besi yang pasang,” katanya lagi.

Kejadian tanah runtuh itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 malam Sabtu lalu disebabkan hujan lebat bermula jam 5.45 petang.

Berikutan itu, seramai 29 penghuni di sembilan rumah di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14, di Puchong  diarah berpindah atas faktor keselamatan.– MalaysiaGazette