KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengeluarkan pengeluaran duit syiling peringatan sempena sambutan ulang tahun ke-100 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bank Pusat itu berkata, duit syiling tersebut terdiri daripada dua spesifikasi, iaitu duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan emas nordic brilliant uncirculated (B.U.).

Duit syiling perak berbentuk segi empat sama yang pertama di Malaysia ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 43 gram.

Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual dengan harga RM440 sekeping. Sebanyak 1,000 keping ditempa.

Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf) – Bentuk Segi
Empat Sama.

“Manakala duit syiling emas nordic brilliant uncirculated diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain ini mempunyai berat 8.5 gram.

“Dengan nilai muka sebanyak RM1, duit syiling in akan dijual dengan harga RM16.50 sekeping. Sebanyak 5,000 keping ditempa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut BNM, duit syiling peringatan tersebut juga tersedia dalam bentuk set dua dalam satu yang mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas nordic.

Setiap set dijual pada harga RM495 dan hanya terdapat 1,000 set untuk pembelian.

Selain itu, bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad itu, setiap individu hanya boleh membeli satu set dua dalam satu, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan maksimum lima keping duit syiling emas nordic (B.U.).

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah.

Tempahan boleh dibuat menerusi pautan duit.bnm.gov.my mulai jam 11 pagi hari ini, 18 Disember 2023 hingga 11 malam, 1 Januari 2024.

“Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya,” ujarnya. – MalaysiaGazette