Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menuai membanting padi secara tradisional pada lawatan kerja ke Kebun Komuniti Rumah Pangsa AU2 di Taman Keramat, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 18 DISEMBER 2023.

AMPANG – Krisis bekalan padi tempatan semakin pulih apabila  proses pengeluaran padi oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) semakin rancak.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata tuaian pada pada penghujung tahun sudah mula diproses di kilang-kilang untuk dipasarkan.

“Penyelesaian (krisis bekalan padi tempatan) sedang diusahakan untuk mencukupkan bekalan sebab yang baharu tuai sekarang dalam proses pengilangan.

“Isu ini sudah reda (berkurang). Cuma sekarang punca beras kita tidak mencukupi kerana tahap sara diri negara baru 65 peratus dan masih 35 peratus lagi belum mencukupi,” ” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kebun komuniti AU2, Taman Keramat, hari ini.

Oktober lalu, Mohamad berkata, jumlah stok beras tempatan semakin berkurangan jika dibanding pada September bagaimanapun jumlahnya masih mencukupi.

Malah stok beras tempatan sehingga 3 Oktober adalah sebanyak 820,482 tan metrik.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, isu keterjaminan makanan tidak ada kesudahan  termasuk bekalan ayam dan telur.

Tambahnya, kemungkinan selepas ini berlaku kekurangan bawang.

“Reda masalah beras, mai (datang masalah kekurangan) bawang pula, masalah makanan tidak akan terhenti, akan ada selalu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyeru agar rakyat negara ini memohon peruntukan kepada kebun komuniti di seluruh negara.

Jelasnya, sebanyak RM1 bilion diperuntukan Jabatan Perdana Menteri di bawah Belanjawan 2024 bagi memastikan program kebun komuniti berjalan lancar.

“RM1 bilion itu untuk projek komuniti seperti itu kerajaan sudah peruntukkan jadi kena mohon awal kerana boleh berbelanja mulai Januari.

“Ia bergantung kepada kawasan Parlimen, kalau Parlimen lain tidak mohon seperti Parlimen Bukit Bintang dia tidak ada kawasan lapang, dan bergantung kepada peruntukan,” katanya.

Dalam Belanjawan 2024 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 bilion dibawah Dana Komuniti Madani untuk membantu setiap kampung dan kawasan penempatan komuniti bagi menjalankan kegiatan ekonomi masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast