PETALING JAYA – ‘Setakat ini, kita (polis) masih belum menjumpai apa-apa petunjuk”.
Itu penjelasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi berhubung kes pembunuhan kanak-kanak austime, Zyan Rayyan Abdul Matiin yang sudah masuk hari ke-12 hari ini.
Sementara itu, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan, polis masih meneruskan usaha mengesan dalang serta bukti pembunuhan kes Zyan Rayyan.
Ketua Polis Negara itu berkata, siasatan masih dijalankan di sekitar Blok Apartmen Idaman, Damansara Damai yang menjadi lokasi penemuan dan tempat tinggal mangsa berusia enam tahun itu.
Pencarian bukti baharu dan siasatan kes kematian Zayn Rayyan masih diteruskan di Apartmen Idaman.
Sementara itu, tinjaun MalaysiaGazette sejak 10 pagi tadi mendapati keadaan di sekitar apartmen lengang tanpa ada kenak-kanak walaupun kini musim cuti sekolah sudah bermula pada 15 Disember lalu.
Bagaimanapun pukul 12.45 tengah hari, beberapa anggota Unit Forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hadir ke lokasi kejadian bagi pencarian bukti baharu pembunuhan kematian Zayn Rayyan.
Pemantauan mendapati anggota Unit Forensik mengambil masa lebih kurang dua jam di Blok R dan anak sungai lokasi Zayn Rayyan ditemui sebelum mereka beredar sekitar pukul 2.23 petang.
Turut kelihatan beberapa anggota polis lain memasuki Blok R dengan melakukan pemantauan namun tiada sebarang petunjuk dan mula beredar pukul 3 petang tadi.
Semalam, rumah tidak berpenghuni di Blok R, Apartment Idaman menjadi tumpuan pasukan forensik PDRM bagi mencari bukti baharu pembunuhan Zayn Rayyan.
Difahamkan, sebanyak tujuh buah rumah tidak berpenghuni di blok terbabit telah diperiksa melibatkan tingkat tiga dan empat yang mengambil masa selama dua jam.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, proses mengesan bukti masih giat dijalankan khususnya di kawasan blok kediaman mangsa.
Beliau berkata, setakat ini, tiada perkembangan siasatan bagaimanapun usaha pencarian bukti di tempat kejadian diteruskan.
Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan di saliran air berdekatan takungan air, kira-kira 200 meter dari rumahnya, sekitar 10 malam.
Penemuan kanak-kanak berkenaan susulan Op Tutup rumah ke rumah dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya yang bermula 9 malam. – MalaysiaGazette