Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Tourism Malaysia telah melancarkan pakej minat khas ‘Houseboat 2023/2024’ dalam usaha untuk mempelbagaikan penawaran produk minat khas di pasaran.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, pakej pelancongan houseboat ditawarkan melibatkan lokasi popular iaitu di Royal Belum, Perak dan Tasik Kenyir di Terengganu.

Menurutnya, promosi pakej itu dapat membantu menjana aktiviti ekonomi masyarakat setempat secara tidak langsung.

“Pakej promosi ini mengambil kira kesediaan produk yang terdapat di Royal Belum di Perak dan Tasik Kenyir di Terengganu.

“Selain itu, segmen houseboat ini juga dilihat sebagai satu alternatif percutian berkumpulan yang menarik kepada orang ramai.

“Promosi pakej ini memberi peluang untuk orang ramai mengambil kesempatan untuk bercuti sekeluarga ataupun bersama kawan-kawan sempena cuti sekolah dan cuti hujung tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, jumlah houseboat yang berdaftar di Royal Belum sebanyak 41 buah  dengan penawaran sebanyak 615 katil sehari manakala di Tasik Kenyir mempunyai 86 buah dengan penawaran sebanyak 1,290 katil sehari.

Katanya, pakej-pakej tersebut menawarkan kepelbagaian pengalaman percutian yang unik melalui aktiviti- aktiviti seperti berkayak, berakit, memancing, memanah, menjejak Rafflesia, merentas hutan, memasak kuih tradisional, bermain ‘paintball’ dan sebagainya.

Beliau berkata, sebanyak 11 pakej pelancongan houseboat ditawarkan oleh enam agensi pelancongan untuk tempoh perjalanan dari 1 Disember 2023 sehingga 30 Jun 2024.

“Enam agensi pelancongan yang turut menjayakan kempen pelancongan minat khas houseboat ini adalah Al Fateh Travel Sdn Bhd, Ad-Deeni Travel & Tours Sdn Bhd, Mona Holidays Sdn Bhd, Al-Maziah Travel Sdn Bhd, MLS Holidays Sdn Bhd dan Ping Anchorage Travel & Tours Sdn Bhd.

“Pakej-pakej ini boleh mula ditempah mulai sekarang dengan tempoh sah perjalanan adalah sehingga 30 Jun 2024,” ujarnya. – MalaysiaGazette