Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia yang sebelum ini hanya menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh model pembangunan ekonomi, kini turut berminat untuk belajar dari China.

“Kita perlu terbuka untuk menyemak semula sebarang dasar yang telah dilaksanakan selama 40 tahun,” katanya kepada Asahi Shimbun ketika ditemu bual di Tokyo pada 17 Dis.

Beliau merujuk kepada Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan Perdana Menteri keempat Tun (ketika itu Datuk Seri) Dr Mahathir Mohamad pada 1982 bagi mempelajari strategi pemodenan ekonomi terutamanya dari Jepun dan Korea Selatan.

“Saya tidak akan kata ‘Timur’ (dalam dasar itu) bermaksud Jepun dan Korea Selatan tanpa China. Sekarang, apabila kita menyebut ‘Pandang ke Timur’ ia adalah Timur (termasuk China),” kata beliau seperti dipetik oleh akhbar Jepun itu.

Anwar berkata teknologi digital, keselamatan siber dan isu-isu lain sedang mengubah dunia dan Malaysia perlu mengembangkan dasar yang telah berusia puluhan tahun itu, sambil memelihara aspek-aspek yang masih memberi manfaat.

— BERNAMA