PETALING JAYA – Usaha menjejak pembunuh Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang masuk hari ke-13 di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai masih tiada petunjuk baharu.
Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati masih tidak kelihatan unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun unit anjing pengesan (K9) sejak jam 9 pagi tadi.
Bagaimanapun pihak polis hanya kelihatan jam 12.45 tengah hari dan 2.45 petang yang melakukan rondaan rutin harian berdekatan Blok R dan Blok S perumahan terbabit.
Setakat berita ini ditulis, pemantauan MalaysiaGazette mendapati, keadaan Apartmen Idaman masih sunyi dan tidak kelihatan kanak-kanak bermain walaupun ketika musim cuti persekolahan ketika ini.
Bagaimanapun jam 3 petang tadi kelihatan beberapa anggota polis kelihatan memasuki Blok R melalui laluan yang bersebelahan dengan aliran air.
Antara kawasan yang menjadi tumpuan pihak polis setakat petang ini ialah sekitar kawasan aliran air dan stor yang terletak 50 meter dari kediaman kanak-kanak istimewa itu.
Sebelum ini, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran air berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.
Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman kira-kira jam 10 malam, 6 Disember lalu.
Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa. – MalaysiaGazette
















