Saravanan di luar pekarangan kuil bersama penduduk setempat dan ahli MIC di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR –  Isu perobohan kuil berusia lebih 103 tahun iaitu Arulmigu Nagaman di Kampung Railway, Sentul Pasar di sini akan cuba diselesaikan oleh pemaju, YTL Corporation dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, beliau telah membuat panggilan telefon kepada syarikat pemaju dan hartanah terkenal itu hari ini.

“Kita telah dipanggil untuk satu pertemuan yang saya percaya dapat selesaikan isu perobohan kuil ini, dalam mesyuarat itu, kita akan cuba dapatkan rundingan terbaik bagi semua pihak.

“Ramai dalam kalangan masyarakat yang agak terkilan dengan insiden pagi semalam yang dilakukan secara tiba-tiba tanpa sebarang notis.

“Memang difahamkan kuil ini perlu dipindahkan dan rundingan sedang berjalan. Apabila berlakunya secara tiba-tiba nampak seperti tidak hormat dan mengecewakan masyarakat Hindu,” katanya.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata demikian selepas hadir ke protes aman dan mogok lapar oleh Datuk AK Ramalinggam bersama-sama penduduk setempat dan warga kuil berkenaan.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan Ramalingam yang juga Setiausaha Eksekutif MIC  terkejut dan kecewa dengan tindakan yang didakwa gopoh oleh sebuah syarikat hartanah yang mahu merobohkan kuil berkenaan.

Ramalinggam mendakwa ketika ini rundingan masih berjalan antara pengurusan Kuil Arulmigu Nagamman Kampung Railway dengan syarikat terbabit yang juga turut dikelolakan dengan kehadiran Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.

Bagaimanapun dakwa beliau, tanpa sebarang notis pemberitahuan secara tiba-tiba sahaja pagi semalam kerja-kerja perobohan sudah dimulakan.

Dalam pada itu, Saravanan juga memohon kepada pihak-pihak yang cuba menuding jari kepada MIC dalam isu kuil itu supaya berhenti dan cuba menyelesaikannya secara baik.

“Ini isu kita, isu rakyat yang berkaitan dengan masyarakat India. Jadi tidak perlu berpolitik dan asyik tuding jari cari salah. Zaman jadi pembangkang sudah berlalu. Kalau hendak tuding jari sekali pun tolonglah berfakta,” tegasnya.

Difahamkan ketika ini kerja-kerja pembinaan pangsapuri 21 tingkat sedang giat dilakukan dan kuil itu terpaksa dialihkan dan dirobohkan dari lokasi itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mengapa roboh kuil ketika rundingan masih berjalan? – Ramalinggam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast