KUALA LUMPUR – Penyertaan bumiputera dalam profesional terpilih menyumbang 92.7 peratus dan 83.8 peratus daripada jumlah penolong pegawai perubatan dan jururawat pada 2022.

Sementara itu, bumiputera menyumbang 60.8 peratus juruukur tanah, 61.5 peratus juruukur bahan, 52.8 peratus doktor gigi dan 52.7 peratus pereka dalaman.

Walau bagaimanapun, bumiputera mencatatkan penyertaan di bawah 50.0 peratus bagi arkitek (41.2%), peguam (38.2%) dan akauntan (31.8%), menurut Statistik Bumiputera 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.

Statistik ini melibatkan bidang sosial dan ekonomi di peringkat nasional dan negeri untuk tahun rujukan 2015 hingga 2023.

Ia merangkumi statistik dalam bidang sosial dan ekonomi antaranya penduduk, guna tenaga, pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, kesihatan, pelancongan, profesion berdaftar dan harta tanah.

Jumlah penduduk bumiputera pada 2023 merangkumi 63.9 peratus (21.3 juta) daripada 33.4 juta penduduk di Malaysia.

Sementara itu, sumbangan penduduk bukan bumiputera dan bukan warga negara masing-masing adalah  27.2 peratus dan 8.9 peratus.

Penduduk bumiputera lelaki dianggarkan seramai 10.8 juta orang, manakala bumiputera perempuan seramai 10.5 juta orang.

Nisbah jantina bumiputera adalah 102 lelaki berbanding 100 perempuan.

Dari segi perangkaan demografi, bilangan kelahiran hidup bagi bumiputera pada 2022 adalah 344,281.

Jangkaan hayat bagi bumiputera ketika lahir pada 2023 adalah 71.5 tahun bagi lelaki dan 76.3 tahun bagi perempuan.

Sementara itu, kadar kesuburan jumlah bagi seorang wanita bumiputera pada 2022 adalah 2.0 (2021: 2.1).

Bilangan kematian bagi bumiputera yang dicatatkan pada tahun 2022 adalah 130,541 kematian.

Tiga sebab utama kematian bumiputera yang disahkan secara perubatan pada 2022 adalah sakit jantung (12,855 kematian), pneumonia (10,642 kematian) dan penyakit serebrovaskular (6,218 kematian).

Penemuan berkaitan tenaga buruh pada 2022 menunjukkan seramai 9.6 juta tenaga buruh adalah bumiputera (Lelaki: 5.8 juta; Perempuan: 3.9 juta).

Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) bagi bumiputera meningkat kepada 67.1 peratus berbanding tahun 2021 (65.8%).

Dari segi jantina, KPTB bagi lelaki dan perempuan bumiputera masing-masing 80.0 peratus dan 54.1 peratus.

Berdasarkan pencapaian pendidikan, sumbangan tenaga buruh bumiputera yang berpendidikan peringkat menengah dan ke bawah adalah 62.3 peratus.

Sementara itu, 37.7 peratus tenaga buruh bumiputera berpendidikan tertiari.

Kadar pengangguran dalam kalangan bumiputera pula 4.0 peratus (2021: 5.0%).

Dari segi statistik siswazah pula, bilangan siswazah bumiputera yang direkodkan sehingga
2022 adalah seramai 3.8 juta orang (lelaki: 1.7 juta; perempuan: 2.2 juta).

KPTB siswazah bumiputera lelaki pada 2022 kekal pada 88.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, KPTB bagi siswazah perempuan meningkat kepada 82.9 peratus (2021: 82.1 %).

Bagi pindah milik harta tanah pada 2022, bumiputera merekodkan sebanyak 121,997 transaksi harta kediaman dengan sumbangan sebanyak 36.8 peratus (RM34.7 bilion) kepada jumlah nilai pindah milik harta kediaman (RM94.3 bilion).

Sementara itu, bumiputera melakukan sebanyak 3,774 pindah milik harta tanah jenis komersil dengan nilai pindah milik bernilai RM2.1 bilion (2021: RM1.5 bilion).

Dari segi kebajikan, bilangan bumiputera yang berdaftar di Institusi Kebajikan Am bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2022 adalah seramai 2,714 orang (2021: 2,948 orang). Daripada jumlah tersebut, 1,096 orang di Institusi Kanak-Kanak, 637 orang di Institusi Orang Kurang Upaya dan 981 orang di Institusi Warga Emas dan Orang Papa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast