Peniaga Pasar Malam AU2 membuat bantahan mengenai penutupan Pasar Malam Sabtu AU2. Foto NUR SYADILA AMARI, 16 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi dua pilihan kepada peniaga Pasar Malam AU2 susulan penutupan tapak perniagaan mereka yang berakhir Disember ini.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin berkata, pilihan yang diberi sama ada peniaga berpindah ke tapak lain atau ke tapak yang telah dicadangkan DBKL.

Beliau juga memaklumkan DBKL telah pun menjalankan rundingan sejak tahun lepas bersama peniaga Pasar Malam AU2 berkenaan isu tersebut.

“Kita sudah lama berbincang dan memberi beberapa pilihan kepada peniaga sama ada pindah ke tapak berhampiran atau peniaga diberi pilihan untuk memilih mana-mana tapak pasar malam di sekitar Kuala Lumpur sebagai alternatif.

“Kami telah berjumpa dan berunding dengan penganjur, persatuan dan pihak-pihak lain yang berkepentingan tetapi ada segelintir peniaga membuat bantahan tapi kami ambil perhatian kerana itu merupakan sebahagian daripada proses,” katanya pada pemberita di Menara DBKL 1 di sini hari ini.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin ditemui pemberita di Menara DBKL 1, di sini hari ini.

Beliau juga memaklumkan, tapak perniagaan yang dicadangkan DBKL tidak jauh dari lokasi lama dan masih memberi keselesaan pada penduduk serta peniaga.

“Tapak baharu dengan tapak lama sejauh kira-kira 15 minit sahaja. Bagaimanapun, mungkin mereka (peniaga) sudah biasa dengan tapak lama itu.

“Kita ada cadangkan di Seksyen 10, Wangsa Maju tapi ada berpandangan kurang berpotensi namun pihak DBKL akan lihat juga apa yang kita boleh bantu sekiranya mereka boleh berpindah ke sana.” ujarnya.

Tambah Ismadi, pihaknya juga tidak menafikan tapak Pasar Malam AU2 bakal dipindahkan disebabkan berlaku pembangunan di kawasan tersebut.

“Sebenarnya, kita pernah mengalami isu sama sebelum ini. Apabila berlakunya aktiviti pembangunan di tapak tersebut, jalan terpaksa ditutup jadi ia menyukarkan kerja-kerja pembangunan di tapak itu.

“Kita kena tengok semua pihak, kalau boleh dipindahkan kita pindahkan. Kalau ikut perancangan, peniaga bakal berpindah pada Januari tahun depan sekiranya tidak ada sebarang halangan,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, DBKL akan memberikan keputusan berkenaan perkara itu dalam masa terdekat selepas selesai rundingan dilakukan antara semua pihak terlibat.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan lebih 100 peniaga Pasar Malam AU2 berada dalam dilema ekoran tempat perniagaan mereka perlu ditutup akhir bulan ini dan akan dipindahkan ke lokasi lain.

Rata-rata mereka tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana mendakwa lokasi baharu tidak sesuai kerana bertembung dengan satu lagi pasar di tempat, tarikh dan waktu sama iaitu setiap hari Sabtu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

YB Setiawangsa, bantulah kami – Peniaga Pasar Malam AU2