Foto Facebook Faisal Halim.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim mengakui dia menikmati musim cemerlang bersama The Red Giants apabila membantu pasukan untuk layak ke pentas Asia musim depan.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata, apa dicapai kelab itu pada musim ini adalah kerjasama bersama hasil titik peluh, air mata perjuangan, azam dan cita-cita semua pihak yang memiliki ikatan yang kukuh.

“Musim 2023 ini sangat istimewa, hati saya penuh dilimpahi dengan kesyukuran. Kepada peminat setia yang sentiasa menjadi inspirasi saya, kelab yang terus mempercayai saya, rakan sepasukan yang berjuang di samping saya, dan keluarga saya yang menjadi tulang belakang saya – terima kasih.

“Setiap kejayaan adalah bukti kekuatan yang kita kongsi bersama. Perjuangan ini adalah milik kita, dan saya berbesar hati mempunyai semua di sisi saya. Kepercayaan semua menyemarakkan setiap langkah saya.

“Apa yang kita capai musim ini adalah hasil titik peluh, air mata perjuangan, azam, cita-cita dan ikatan yang tidak dapat dipecahkan yang telah kita jalin bersama,” tulisnya.

Selangor di bawah kendalian Tan Cheng Hoe akan beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) sebagai wakil tunggal Malaysia sementara Johor Darul Ta’zim (JDT) akan beraksi di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Musim ini, Faisal telah menjaringkan 12 gol termasuk mencipta sensasi bersama Harimau Malaya apabila sering mendapat kepercayaan jurulatih Kim Pan Gon dalam kesebelasan utama.

Jaringan ketika aksi persahabatan bertemu China serta gol minit-minit akhir semasa aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 turut mengharumkan nama penyerang berkenaan.

Prestasi membanggakan Faisal musim ini meletakkannya sebagai calon utama untuk meraih gelaran Pemain Paling Bernilai 2023 dengan Arif Aiman dilihat sebagai pencabar terdekat.

Selain itu, kecemerlangan pemain kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang tersebut turut meletakkannya dalam senarai awal yang bakal beraksi dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar. – MalaysiaGazette