Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib mangsa penipuan yang pihak berkuasa tidak sesekali mengambil mudah kes-kes penipuan tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, peringatan itu diberikan rentetan laporan akhbar berkenaan Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) yang membawa aduan kira-kira 500 mangsa penipuan kepada Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) pada 19 Disember lalu berkaitan tiga syarikat yang didakwa kononnya masih belum dikenakan tindakan setelah aduan dibuat pihak berkenaan.

Menurutnya, JSJK ingin menjelaskan  tiga syarikat yang menjadi rujukan pihak MHO ialah Radiance Asset Berhad, Planetrade Holdings Sdn Bhd dan The Rain Maker MGMT Sdn Bhd.

“Merujuk kepada tiga syarikat itu, laporan polis yang diterima ialah sebanyak 547 laporan polis telah diterima setakat ini manakala sebanyak 62 kertas siasatan sudah dibuka dan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 42 kertas siasatan masih dalam status siasatan sementara dua kertas siasatan dalam tindakan kamar Pejabat Peguam Negara manakala 14 individu telah dituduh di mahkamah dan empat lagi kes telah diterima arahan tiada tindakan lanjut (NFA) disebabkan pengadu tidak lagi berminat dan menarik laporan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramli menegaskan kesemua laporan polis yang mempunyai unsur penipuan atau pecah amanah akan dibuka kertas siasatan untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun dalam kes melibatkan jenayah pelaburan, kebanyakan kes menjurus kepada peruntukan di bawah undang-undang lain seperti Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671), Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778).

“Ini yang mana terdapat agensi khusus untuk menyiasat kesalahan spesifik yang berkaitan. Apabila sesuatu laporan polis diterima, pihak JSJK akan menasihatkan pengadu untuk merujuk laporan mereka kepada agensi berkaitan sekiranya berkenaan,” katanya.

Dalam masa sama, JSJK menasihatkan orang ramai supaya tidak muda terpedaya dengan skim-skim pelaburan terutama yang menjanjikan pulangan tinggi, apatah lagi syarikat itu tidak mendaftar dengan agensi sepatutnya dalam urusan pelaburan seperti Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. – MalaysiaGazette