SKOP MG bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin di kediamannya di Bukit Tun, Kuala Lumpur. Foto NUR SYADILA AMARI, 19 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Tidak salah untuk Pas  membayangkan Perdana Menteri pada masa depan datang daripada parti mereka, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, perdana menteri boleh datang daripada mana-mana parti sahaja dan tidak tertakluk kepada satu parti tertentu dalam blok parti politik.

“Kalau Lim Kit Siang pun boleh cakap perdana menteri adalah daripada bukan Melayu, apa salahnya Pas cakap perkara sama?

“Sudah pasti perkara yang difikirkan itu adalah mengikut keperluan dan kebaikan semua,” ujarnya menerusi program SKOP MG terbitan MalaysiaGazette.

Sebelum ini,  Kit Siang ketika berucap di hadapan pelajar Malaysia di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu ada menyatakan harapan untuk melihat Malaysia tidak perlu menunggu lama seperti Amerika Syarikat (AS) untuk mempunyai pemimpin daripada kalangan minoriti.

Veteran DAP itu turut merujuk pelantikan Barack Obama iaitu pemimpin kulit hitam pertama dilantik sebagai Presiden AS.

Dalam pada itu, menerusi video bertajuk Jangan Tekan Kami Pembangkang – Hamzah  tidak menolak andai perkara itu direalisasikan dengan kerjasama bersama parti lain seperti UMNO.

“Beginilah, untuk bekerjasama dengan UMNO, itu sesuatu yang baik kerana dapat menyatukan semua orang Melayu. Ini dapat mengembalikan perjuangan lama iaitu perjuangan asal sejak merdeka lagi.

“Cuma, masalah kita adalah UMNO itu sendiri yang tidak mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional,” katanya.

Menurut Hamzah lagi, semua parti sudah pasti mempunyai strategi masing-masing.

“Pas sudah menyatakan mereka terbuka untuk kerjasama ini.

“Untuk Bersatu pula, kita tidak pernah buat kenyataan begitu tetapi dalam hati dan pemikiran pucuk pimpinan tetap memikirkan apakah salah untuk Melayu kembali bersatu dalam perjuangan asal kita?

“Kerana itu, sebagai Ketua Pembangkang, saya terbuka, siapa pun boleh jadi perdana menteri asalkan perjuangan kita sama seperti yang asal memberi keadilan kepada semua mengikut perlembagaan yang ada pada hari ini.

“Mengapa harus kita tukar semata-mata kepentingan individu untuk berkuasa?

“Saya rasa itu tak betul. Seharusnya yang termaktub itu harus dilihat sebagai kitab kepada semua,” katanya lagi.

Sementara itu, Hamzah turut menempelak satu analisis yang dilakukan di Singapura terhadap Pas.

“Dalam analisis itu, mereka mengatakan Pas masih mengekalkan cara politik lama dan ortodok, itu tidak betul. Pas ditubuhkan sebagai parti Islam tetapi mereka ini pragmatik.

“Selepas lebih 60 tahun berjuang dalam negara, mereka melihat bahawa pentingnya adalah cara pemerintahan yang adil, boleh memberi keselesaan dan membesarkan negara.

“Kerana itu bersama Bersatu, Pas melihat ia mampu dilaksanakan. Jadi analisis ini tidak betul sama sekali,” katanya. -MalaysiaGazette