KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL)menyita sebanyak 82 motosikal tanpa brek belakang yang digunakan untuk perlumbaan haram dalam Ops Samseng Jalanan dan Lumba Haram di ibu kota pada 16 Disember lalu.

Ia sekaligus menyaksikan penyitaan jumlah motosikal tanpa brek belakang yang terbanyak dalam operasi kali ini, kata Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.

Menurutnya, walaupun dalam beberapa operasi sebelum ini hanya beberapa buah motosikal tanpa brek belakang disita namun kali ini pihaknya berjaya menyita jumlah motosikal yang sama terbesar tahun ini.

Salah seorang daripada lebih 200 pemilik motosikal yang hadir ke Balai Polis Trafik JSPT KL di Jalan Tun. H.S.Lee di sini untuk menuntut motosikalnya mengakui motif sebenar mereka mengubahsuai dan menanggalkan brek motosikal  adalah untuk keseronokan berlumba.

“Kami memang keluar duit ribuan ringgit dan ubahsuai motosikal untuk keseronokan berlumba.

Sarifudin bercakap kepada salah seorang pemilik motosikal berusia 19 tahun yang hadir mengambil motosikal yang disita di Balai Polis Trafik Di Jalan Tun H.S.Lee pagi ini.

“Kalau menanggalkan brek belakang motosikal ia akan menjadikan lebih ringan dan membantu memaksimumkan kelajuan semasa berlumba atas jalan,” kata pemuda berusia 19 tahun yang bekerja di sebuah restoran ketika ditemui di sini hari ini.

Malah ada juga pemilik motosikal berusia 18 tahun mengaku sanggup ikat perut bagi mengumpul duit sehingga RM8,000 demi mengubahsuai motosikalnya demi keserinokan walaupun menyedari risiko tindakan penguat kuasa menanti atas jalan raya.

Dalam pada itu, Sarifudin turut berkata, dalam operasi motosikal dan samseng jalanan Sabtu lalu pihaknya menumpukan beberapa jalan utama di ibu negara termasuk Jalan Tun Razak yang berlarutan sehingga 5 pagi.

Hasilnya sebanyak 247 motosikal ditahan dan 633 saman telah dikeluarkan dalam operasi tersebut.

“Apa yang menarik adalah kita terkesan trend banyak motosikal tidak menggunakan brek belakang, yang biasa kita jumpa ekzos bising tapi ini tanpa brek belakang dan disita serta dibawa ke balai trafik untuk pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak Jabatan Alam Sekitar (bunyi ekzos).

“Bagi JSPTKL ia (motosikal tanpa brek belakang) merupakan trend dan fenomena baharu berkembang dalam kalangan remaja di ibu negara dan amat berbahaya bukan sahaja kepada penunggang motosikal itu sendiri tetapi juga pengguna lain atas jalan raya.

“Apa pun, pihak JSPT KL akan memastikan perkara ini ditangani sebaik-baiknya sehingga tiada satu motosikal pun di ibu negara tanpa brek belakang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jelas Sarifudin lagi, perkara berkenaan menjadi fokus pasukan trafik dan amat dititikberatkan serta mahu menangani bagi memastikan perkara itu tidak berulang lagi.

“Kita akan terus menjalankan operasi pada setiap hari dan minggu supaya trend (motosikal tanpa brek belakang) ini disekat dari berkembang luas di ibu negara.

Sarifudin memantau proses saman ke atas pemilik motosikal yang disita dalam operasi Motosikal pada 16 Disember lalu di Balai Trafik KL di Jalan Tun H.S.Lee ibu negara hari ini.

Tegas beliau, pemilik kepada kesemua 247 motosikal ditahan dalam operasi kali ini dikeluarkan saman trafik mengikut peraturan 95 dan peraturan 138 atas pelbagai kesalahan.

Antaranya tiada lesen memandu/ lesen tamat tempoh, tiada cermin sisi, cukai jalan tamat tempoh dan sebagainya serta meminta kerjasama JPJ memeriksa semua motosikal berkenaan sama ia mematuhi speksifikasi dan layak berada di atas jalan raya.

Kesemua pemilik yang ditahan bersama motosikal atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu adalah turut terdiri daripada golongan remaja sekolah menengah berusia 14 hingga 17 tahun yang mana mereka menanggalkan sendiri brek belakang atau dengan bantuan bengkel motosikal.

“Untuk motosikal yang diubahsuai ekzos bising, mereka perlu menukar segera kepada ekzos normal di sini juga (balai trafik) sebelum dibenarkan bawa pulang.

“Manakala motosikal tanpa brek belakang itu perlu dirujuk oleh pemilik dengan menyelesaikan segala saman atau kompaun yang diterima terlebih dahulu sebelum merujuk motosikal kepada pemeriksaan JPJ dalam keadaan sempurna untuk dibenarkan atas jalan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast