Lebih 1,000 anggota dan pegawai polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman telah mengempur penempatan warga asing yang digelar 'Mini Dhaka' di Jalan Silang di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 anggota dan pegawai polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman telah mengempur penempatan warga asing yang digelar ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang di sini hari ini.

Sekumpulan polis telah mengepung kawasan berkenaan bermula 11 pagi tadi sebelum menyerbu koloni penempatan berhampiran Pudu itu.

Pasukan keselamatan yang dilihat lengkap dengan ves polis dan bersenjata bersama peralatan khas dikatakan memasuki setiap premis membabitkan empat blok di Jalan Silang itu.

Difahamkan serbuan itu dilaksanakan bagi menangani kebanjiran warga asing yang dilihat mendominasi di Jalan Silang dan perniagaan yang menggajikan warga asing di tengah ibu kota itu.

Dalam operasi berkenaan dianggarkan sekitar 500 warga asing berjaya dikepung dan ditahan setakat pukul 1 tengah hari oleh pasukan PGA itu.

Kebanyakan warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar selepas mereka gagal meloloskan diri dalam kepungan secara mengejut itu.

Sebahagian warga asing yang ditahan oleh pasukan PGA dalam kepungan di Mini Dhaka Jalan Silang ibu kota hari ini.

Dalam pada itu, pemeriksaan di salah satu premis di lokasi mendapati warga asing menjalankan perniagaan agensi pelancongan turut menawarkan khidmat klinik persendirian selain pelbagai ubatan dipercayai dari Bangladesh tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kesemua warga asing yang ditahan itu telah dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk semakan dokumentasi bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette