BUTTERWORTH – Seorang Bintara Muda Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Pulau Pinang didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM500 daripada sebuah syarikat perikanan pada enam tahun lalu.

Hakim Zulhazmi Abdullah membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Mohd Fadzil Abdullah, 48, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan terhadapnya di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mohd Fadzil.

Mengikut pertuduhan, Mohd Fadzil didakwa menerima untuk dirinya sendiri suatu benda berharga dengan tiada balasan iaitu wang berjumlah RM500 melalui pindahan wang akaun Maybank miliknya daripada pemilik perniagaan Chin Hooi Fishery yang mana ia mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Wisma Jelutong dalam daerah Timur Laut pada 17 April 2017.

Bagi kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang mana boleh penjara tempoh maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh membayar denda tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkifli manakala tertuduh diwakili SP. Raman.

Dalam rayuan Raman memohon denda ringan terhadap anak guamnya dengan meminta mahkamah mengambil kira ia merupakan kesalahan pertama serta pengakuan tertuduh menjimatkan masa mahkamah.

Selain itu, Raman turut meminta mahkamah mengambil kira faktor anak guamnya berdepan risiko hilang jawatan selain perlu menangggung enam anak yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, Afiqa Liyana mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran agar ia menjadi amaran kepada bakal pesalah lain.

Sementara itu dalam prosiding sama, Mohd Fadzil turut berdepan empat lagi pertuduhan berhubung kesalahan rasuah namun mahkamah memutuskan tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan selepas menerima representasi yang dikemukakan Raman terhadap anak guamnya mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

ARTIKEL BERKAITAN:

Bintara Muda APMM didakwa terima suapan

MalaysiaGazette pada 6 Julai lalu melaporkan seorang Bintara Muda Agensi Penguatkuasaan Maritim Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima suapan RM7,900 dari sebuah syarikat pada enam tahun lalu.

Dia yang ketika itu mengaku tidak bersalah dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan sehingga selesai perbicaraan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast