Mohd Fadzil didakwa atas lima pertuduhan terima suapan di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang Bintara Muda Agensi Penguatkuasaan Maritim Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan menerima suapan RM7,900 dari sebuah syarikat pada enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Fadzil Abdullah, 48 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh ketika itu bertugas sebagai Bintara Muda Maritim Gred T6, di Agensi Penguatkuasaan Maritim Pulau Pinang telah menerima wang berjumlah RM7,900 daripada seorang lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi Mohd Fadzil.

Semua pertuduhan itu didakwa dilakukan antara 17 April 2017 hingga 2 Ogos 2018 di beberapa bank sekitar negeri ini.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkifli manakala tertuduh diwakili SP. Raman.

Ketika prosiding, Afiqa Liyana mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu lapor diri di pejabat SPRM dan serahkan pasport sehingga kes selesai.

Video Berkaitan

Bagaimanapun, Raman meminta mahkamah memberikan jaminan munasabah memandangkan anak guamnya perlu menyara tiga orang anak yang masih bersekolah.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 10 Ogos depan.

Tertuduh membayar wang jaminan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast