KUALA LUMPUR – Bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA), Azmeer Yusoff menasihati pemain beragama Islam agar mempunyai pegangan tauhid yang tinggi supaya dapat mengharungi waktu sukar dalam karier.
Ini kerana dia tidak mahu melihat lebih ramai pemain muda yang baru memulakan karier untuk tidak cepat mengalah dalam usaha mencipta kejayaan.
“Jadi pemain bola sepak ni kau kena kuatkan kau punya tauhid kepada Allah. Kau pemain bagus tapi jurulatih letak kau di bangku simpanan. Kau komited dalam pasukan tapi kadang-kadang jurulatih tak letak kau dalam senarai skuad 18 pemain.
“Kau perform sepanjang tahun tapi akhirnya pasukan tak sambung kontrak. Kau pemain berpengalaman tapi gaji lebih rendah daripada pemain yang baru main bola. Kau dan pasukan dah all out gila-gila tapi tak menang.
“Kau dan pasukan sepak ke gol 20 kali tapi pihak lawan sekali je sepak terus masuk gol. Kau buat latihan tambahan berbanding pemain lain tapi tak cukup untuk tackle hati jurulatih.
“Kau masuk perlawanan akhir tiga kali, sekali pun tak jadi juara,” tulisnya di laman Facebook.
Azmeer menambah, apa yang penting memberikan usaha dengan sehabis baik sebelum menyerah dalam perjuangan memburu kejayaan.
“Inysa-Allah ada bakal pemain baca (nasihat) ni. Secara tak langsung depa bertauhidkan Allah dalam bidang bola sepak ni.
“Sebelum menyerah, ingat (yang) usaha itu kita punya. Jadi, usaha dulu sebelum menyerah dan berserah,” ujar Azmeer.
Pada Disember 2020, ketika menyarung jersi Kedah dalam saingan Liga Super, Azmeer membuat kejutan apabila mengumumkan persaraannya dalam dunia bola sepak.
Dia memberi alasan mahu memberikan tumpuan penuh terhadap bidang keusahawanan dan kebajikan di mana dia mengilhamkan idea pembinaan Pusat Pengajian Azmeer Yusof di Tongkang Yard, Alor Setar.
Namun setahun kemudian dia menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Liga M3 musim depan iaitu BRM FC.
Azmeer kini tidak lagi bermain bola sepak secara profesional sebaliknya berkhidmat sebagai jurulatih sebuah kelab di Selangor iaitu Trinity FC. – MalaysiaGazette