Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Hasrat untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan masih tidak sesuai diadakan kerana mengundang lebih mudarat dari segi perkhidmatan, kewangan mahupun polemik politik.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pilihan raya itu hanya bakal menimbulkan ketidakselesaan antara kaum jika tidak ditadbir urus dengan baik.

“Saya berpendirian teguh, apa jua yang hendak dilakukan, komitmen paling tinggi harus diberi dalam mengutamakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat. Itulah agenda paling mustahak bagi sesebuah kerajaan tempatan

“Sistem yang diguna pakai pada masa sekarang masih sesuai dengan kehendak semasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya Yang Dipertua atau Datuk Bandar adalah kebiasaanya dalam kalangan penjawat awam yang senior, berpengalaman dan neutral dari segi kecenderungan politik.

Manakala ahli-ahli majlis pula adalah lantikan kerajaan negeri, yang sudah semestinya juga membawa hasrat dan agenda yang sama dengan kerajaan memerintah.

“Jika ada kepincangan, saya fikir itu adalah berkaitan dengan profesionalisme dan prestasi individu, bukan kepincangan sistem sedia ada.

“Saya amat risau jika kita memasukkan elemen politik (pilihan raya) di dalam sistem ini, ia akan lebih membawa mudarat.

Mengulas lanjut katanya, pilihan raya PBT juga boleh boleh mengakibatkan berlakunya pemilihan yang bukan berdasarkan prestasi, tetapi persepsi.

Jika itu berlaku, maka mereka yang pilih dalam pilihan raya tersebut berdasarkan populariti tetapi tidak boleh buat kerja.

“Kita juga harus menilai dari sudut implikasi kewangan di mana utaan ringgit bakal dibelanjakan untuk tujuan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Ambil iktibar apa yang berlaku di Parlimen Kemaman, RM3.5 juta terpaksa dibelanjakan sekali lagi untuk adakan pilihan raya kerana salah laku pemimpin di kawasan tersebut.

“Perkara sama boleh berlaku dalam pilihan raya PBT,” tambah Wan Rosdy.

Oleh itu,  lebih baik wang untuk mengadakan pilihan raya itu digunakan untuk kebajikan rakyat.

Wan Rosdy turut menasihati semua pihak agar lebih berhati-hati dalam memberi pandangan, terutamanya membabitkan isu-isu yang sensitif.

“Saya melihat kadang-kala pandangan-pandangan itu sengaja dibuat untuk menimbulkan provokasi, tetapi berselindung di sebalik nama demokrasi.

“Benar, ia adalah satu proses demokrasi yang baik. Namun ingatlah, sejauh manapun kita bersetuju dengan sistem demokrasi ini, jangan lah sampai kita terkorban hanya semata-mata ‘atas nama demokrasi’,” katanya. -MalaysiaGazette