KLANG – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bekalan bahan mentah di pasaran terutama ayam tidak terjejas walaupun Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti terhadap lima syarikat, baru-baru ini.
Penalti itu ekoran pembentukan kartel bagi menetapkan harga makanan ayam.
Kata Mohamad, bekalan bahan mentah termasuk ayam, telur serta bahan mentah lain mencukupi sepanjang musim perayaan sehingga Aidilfitri tahun depan.
“Kementerian saya dan KPDN sentiasa bekerjasama untuk menghadapi musim perayaan, yang terdekat Krismas kemudian Tahun Baru Cina dan kemudian Ramadan dan Aidilfitri tahun depan.
“Insya Allah, semua cukup dan sentiasa ada. Kita mahu pastikan telur, ayam sentiasa mencukupi.
“Harga ditentukan oleh KPDN. Saya tidak boleh komen kerana bukan bawah kuasa kementerian saya tetapi kıta beri kerjasama, tidak bergerak secara silo. Semua kementerian bekerjasama dalam menangani keterjaminan makanan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2023 di sini hari ini.
Beliau mengulas MyCC mengenakan penalti berjumlah sekitar RM415.5 juta kepada lima syarikat kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.
Siasatan MyCC mendapati sejak Januari 2020 hingga Mac 2022 terdapat potensi gangguan pasaran makanan ayam dengan pelbagai bukti dalam bentuk pengumuman harga, corak harga dan komunikasi dalam kalangan perusahaan. -MalaysiaGazette