KLANG – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) melahirkan kebimbangan kemungkinan partinya akan berdepan dengan konflik dalam kalangan ahli sendiri berikutan pemilihan parti kali ini.
Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, parti itu pastinya akan berantakkan serta wujud konflik kerana adanya agenda kepentingan diri atau kelompok tertentu.
Justeru itu, Mohamad Sabu berharap semua ahli akan merapatkan saf selepas pemilihan parti ini selesai esok dengan meletakkan perjuangan serta kepentingan parti sebagai fokus utama.
“Saya mahu semua peringkat parti, sama ada di peringkat nasional, negeri, sayap Wanita Amanah, Pemuda, Wanita Muda Amanah, kawasan sampai ke cawangan supaya merapatkan saf sejurus selepas pemilihan parti ini selesai,” katanya pada Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional Amanah 2023 di sini hari ini.
Tambah beliau, semua ahli perlu meletakkan keazaman untuk sentiasa bersatu demi kelangsungan parti itu yang sudah menjangkau usia lapan tahun penubuhannya.
Kata beliau, kekuatan Amanah sebenarnya bukan terletak kepada pendekatan strategi politik atau organisasinya sebaliknya lebih kepada keserasian ‘collective leadership’.
“Parti ini juga tidak meletakkan pergantungan kekuatan partinya kepada karisma serta aura seseorang pemimpin.
“Sebaliknya, teras kepemimpinan parti Amanah ini ialah kepada keserasian collective leadership yang padu dan kukuh,” tegasnya.
Difahamkan seramai 124 calon akan merebut 27 tempat Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah dalam pemilihan parti sesi 2023-2026 yang akan diadakan serentak dengan Konvensyen Nasional 2023 pada 23 dan 24 Disember ini. -MalaysiaGazette