KUALA LUMPUR – Mangsa banjir di Kelantan terus bertambah kepada 1,250 orang pada tengahari ini susulan hujan berterusan sejak semalam.
Ia membabitkan 338 keluarga yang kesemuanya kini ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS).
Sehingga pukul 11 pagi tadi, tiga daerah dilanda banjir gelombang ketiga iaitu Jeli, Pasir Mas dan Tanah Merah.
Portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, Pasir Mas merekodkan mangsa paling ramai iaitu 689 orang yang kini ditempatkan di tiga PPS.
Manakala, Jeli merekodkan 477 mangsa di empat PPS dan Tanah Merah mencatatkan 84 mangsa di lima PPS.
Sementara itu, menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, tiga sungai lepasi paras bahaya, empat berada di tahap amaran dan lima sungai lepasi tahap berjaga-jaga.
Tiga sungai melepasi paras bahaya adalah Sungai Pergau di Kuala-Balah (55.77m ) Sungai Lanas di Air Lanas (29.55m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob (24.63m). – MalaysiaGazette