KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan agar tidak tertipu dengan kewujudan penipuan yang dinamakan Sim Swap yang dikaitkan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ini kerana informasi tersebut adalah palsu di mana jabatan itu tidak pernah membuat sebaran mesej sedemikian, kata Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
“PDRM telah mengesan sebaran informasi melalui aplikasi Whatsapp dan Facebook mengenai kewujudan modus operandi baharu penipuan yang dinamakan sebagai Sim Swap.
“Menurut mesej tersebut mangsa akan menerima panggilan yang kemudiannya meminta mangsa menekan butang “1”. Apabila butang tersebit ditekan, telefon milik mangsa akan digodam dan diambil alih oleh penjenayah seterusnya penjenayah akan memindahkan semua wang dari akaun mangsa ke akaun lain.
“Mesej tersebut juga didakwa daripada JSJ Komersial PDRM,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Ramli berkata, sebagai langkah berjaga-jaga semua pengguna telefon diingatkan untuk tidak menekan mana-mana pautan yang meragukan dan tidak menuruti sebarang arahan yang diterima melalui individu yang tidak dikenali.
Beliau menegaskan, semua nasihat serta pesanan awam yang dikeluarkan oleh JSJK PDRM adalah melalui saluran media cetak dan elektronik rasmi seperti berita televisyen serta akhbar.
Hebahan juga dibuat secara atas talian melalui portal rasmi PDRM dan JSJK serta sumber sahih mengenai sesuatu psanan adalah melalui kaedah tersebut.
“Adalah dinasihatkan agar penyebaran informasi tersebut dihentikan bagi mengelakkan timbulnya kegusaran di kalangan masyarakat,” ujarnya.
Elakkan dari menjadi penyebar maklumat yang tidak benar dan sebarang pertanyaan ataupun pengesahan berkaitan kewujudan modus operandi baharu penipuan boleh diketahui dengan menghubugi balai polis berhampiran ataupun mengemukakan pertanyaan kepada CCID Infoline melalui talian 013-211 12222. – MalaysiaGazette