Mohamad Sabu

KLANG – Pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hanya boleh dilaksanakan sekiranya semua kaum berpuashati.

Menurut Persiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, pelaksanaan pilihan raya itu mesti bersifat menang-menang kepada semua kaum.

“Kita hendaklah berbincang dengan lebih lanjut, lebih panjang supaya kalaulah sampai ke peringkat cadangan-cadangan kita dalam pilihan raya PBT ini mestilah win-win. Ertinya semua kaum berasa puas hati dan semua kaum berasa selamat,” kata Mohamad.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Presiden Amanah sempena Konvensyen Nasional Amanah 2023 hari ini.

Mohamad walau agaimanapun berkata, pilihan raya PBT perlu diadakan pada masa depan dan ahli majlis perlu dipilih oleh rakyat.

Ini kerana hanya dengan cara itu mereka yang dilantik akan bekerja bersungguh-sungguh untuk rakyat berbanding cara pemilihan ketika ini yang dibuat oleh presiden parti.

“Pada masa akan datang kena difikirkan kerana PBT kalau dipilih oleh rakyat dia kena kerja betul-betul untuk kepentingan rakyat dan (bukan untuk) kepentingan ketua parti.

“Sekarang ini kalau nak dilantik ahli majlis dan sebagainya dia kena bodek ketua parti. Macam Amanah kena bodek sayalah.

“Tapi kalau pergi kepada rakyat memilih, dia kena ambil hati rakyat. Tetapi berhati-hati (pelaksanaannya) agar tidak berlaku mana-mana kaum yang tercicir bila ada pilihan raya PBT ini,” kata beliau yang mengulas isu yang turut dibangkitkan perwakilan Amanah dalam konvensyen tersebut.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan kerajaan mengembalikan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Cadangan itu dikemuka susulan rombakan Kabinet baru-baru ini, yang menyaksikan pelantikan menteri bagi portfolio khusus untuk Wilayah Persekutuan.

Beliau menegaskan desakan secara konsisten parti itu supaya memansuhkan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi mengelakkan campur tangan politik dalam pentadbiran Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata, langkah memperkenal semula pilihan raya PBT di Kuala Lumpur akan membawa kepada ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus cekap, bersih dan bertunjangkan rakyat. – MalaysiaGazette