Syafie Naswip sah bergelar suami kepada Nur Afiqah.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Syafie Naswip selamat bergelar suami kepada Nur Afiqah Ishak dengan sekali lafaz selepas melangsungkan majlis pernikahan di Dewan Wilqadry, Putrajaya semalam.

Majlis akad nikah tersebut telah disiarkan secara langsung menerusi akaun Instagram milik pelakon tersebut.

Dalam majlis yang diadakan secara sederhana itu, Syafie atau nama lengkapnya Muhammad Syafie Naswip, 31, telah dinikahkan sendiri oleh bapa kandung kepada pengantin perempuan dengan mas kahwin sebanyak RM300.

Selepas selesai majlis akad tersebut, pelakon yang popular menerusi filem Mukhsin itu dilihat sebak dan menitiskan air mata ketika membaca taklik, iaitu perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan seperti mana diperuntukkan dalam Akta, Enakmen atau Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri.

Difahamkan isteri kepada Syafie iaitu Nur Afiqah merupakan seorang pelakon dan juga model, berdasarkan komen yang ditinggalkan oleh pengikut suaminya dalam Instagram. – MalaysiaGazette