Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan 171 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di daerah Kota Tinggi yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan awam.

Tangkapan berkenaan susulan daripada video tular menunjukkan sekumpulan PATI berjalan kaki di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan kejadian tersebut pada Rabu lalu.

Katanya, susulan laporan polis dibuat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian bagi membuat pemeriksaan lanjut.

“Ya benar, video yang tular itu adalah kejadian baharu minggu lalu.

“Kejadian berlaku pada pagi Rabu lalu apabila ratusan warga asing Bangladesh telah dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk, Teluk Ramunia Bayu Damai, di sini,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, semua PATI berumur antara 19 hingga 43 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dilakukan atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Baru-baru ini, video tular 1 minit 33 saat itu memaparkan seorang pemandu kereta terkejut dengan kehadiran ramai warga asing sedang berjalan kaki dalam barisan yang panjang.-MalaysiaGazette