Tentera Israel mengangkat rakan mereka yang mati dalam pertempuran

TEL AVIV – Kerajaan Israel dilaporkan telah menubuhkan pasukan doktor dan jururawat untuk menangani askar yang mempunyai kecenderungan membunuh diri selepas pulang dari melakukan peperangan di Gaza.

Akhbar Israel Yedioth Ahronoth melaporkan pada hari Ahad bahawa jabatan pemulihan tentera Israel akan mengaktifkan program untuk membantu tentera yang mengalami “gangguan psikologi”.

Laporan itu berkata, pasukan jururawat dan pakar psikiatri yang boleh menangani “kecenderungan membunuh diri” itu akan menjalankan penilaian terhadap tentera zionis untuk menentukan tahan gangguan psikologi yang mereka alami.

Menurut media itu, perang ke atas Gaza membawa kepada “korban yang tidak tertanggung dan mahal ke atas nyawa, kecederaan fizikal, dan gangguan psikologi, terutamanya dalam kalangan tentera yang kurang upaya.”

Sementara itu stesen penyiar Israel, Channel 12, mendedahkan Jumaat lalu bahawa 3,000 askar Israel yang mengalami kecederaan akibat pencerobohan berterusan Israel ke atas Gaza telah diklasifikasikan dalam kalangan mereka yang mempunyai “ketidakupayaan kekal dalam tentera.”

Jabatan pemulihan Israel dilaporkan menerima 60 tentera baharu yang cedera setiap hari daripada pasukan keselamatan dan simpanan tidak termasuk anggota tentera tetap.

Lebih 2,000 askar yang diklasifikasikan sebagai orang kurang upaya dan ditempatkan oleh Kementerian Keselamatan Israel bersama 1,000 daripada pasukan tetap kini sedang dirawat oleh tentera.

Sejak perang ke atas Gaza pada 7 Oktober, bilangan tentera Israel yang cedera mencecah 5,000 setakat 9 Disember.

Media Israel mendedahkan bahawa askar Israel, khususnya pasukan simpanan, menderita psikologi dan fizikal akibat perang di Gaza.

Simptom yang dialami askar tersebut antara lain “kesedihan demi kesedihan” yang menjelma dalam pelbagai cara seperti kesukaran tidur, masalah pernafasan, dan kehilangan selera makan.

Times of Israel pada 3 Januari lalu melaporkan, bunuh diri kekal sebagai punca utama kematian askar Israel dengan sekurang-kurangnya 14 askar dipercayai membunuh diri pada 2022 berbanding 11 pada tahun sebelumnya.

Bilangan tertinggi bunuh diri dalam kalangan askar Israel dicatatkan tinggi pada 2003 iaitu 43 orang dan 31 pada 2002.

Turut tular di media sosial seorang bekas tentera Israel, Avichai Levi yang mengaku cuba membunuh diri akibat gangguan psikologi sebanyak tiga kali kerana diabaikan oleh kerajaan zionis selepas melaksanakan tugas menyerang penduduk di Gaza.-Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast