Tentera Israel yang beroperasi di Gaza.

TEL AVIV – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah menghantar lebih 10,000 tan persenjataan kepada Israel sejak negara zionis itu melancarkan serangan ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu.

Menurut penyiar Israel Channel 12 pada Isnin lalu, sejumlah 244 pesawat pengangkut AS dan 20 kapal digunakan untuk mengangkut senjata yang telah digunakan untuk membunuh lebih 20,000 penduduk Gaza selain memusnahkan rumah dan infrastuktur awam.

Kementerian Keselamatan Israel juga telah membuat hampir AS$2.8 bilion (RM4.6 bilion) dalam pembelian tambahan dari AS. Semua barisan pengeluaran industri ketenteraan “Israel” dilaporkan beroperasi secara berterusan.

Maklumat itu didedahkan berikutan ahli politik Likud, Tally Gotliv mempersoalkan kuantiti tembakan meriam di selatan Gaza telah menurun dengan ketara sejak tiga minggu lalu.

TV Israel itu selanjutnya menyentuh dakwaan bahawa pasukan pendudukan Israel (IOF) terlibat dalam apa yang disebut “ekonomi persenjataan.”

Laporan itu menekankan bahawa peralatan ketenteraan yang dihantar ke Israel sejak permulaan perang merangkumi pelbagai barangan, termasuk “kenderaan berperisai, persenjataan, peralatan perlindungan diri, bekalan perubatan, peluru dan banyak lagi.

Pada 6 Disember lalu, Kementerian Keselamatan Israel mengumumkan secara terbuka ketibaan pesawat kargo AS ke-200 yang mengangkut peralatan ketenteraan untuk Pasukan Pertahanan Israel.

Sebagai rekod AS telah berkali-kali menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menggagalkan resolusi gencatan senjata di Gaza. – Agensi