TEL AVIV – Keluarga dan sahabat kepada mangsa tebusan Hamas mencemuh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana masih mahu menggunakan kuasa tentera untuk membawa pulang mereka yang ditawan Hamas.
Netanyahu diboo ketika bercakap di Plenum Knesset pada hari Isnin selepas dia mengisytiharkan walaupun melakukan “segala usaha” untuk membawa pulang warga Israel yang diculik namun ia memerlukan “tekanan tentera” untuk berjaya.
“Kami tidak mempunyai masa,” kata salah seorang ahli keluarga yang diculik dari galeri Knesset disusuli laungan “Sekarang! Sekarang! Sekarang!” daripada keseluruhan saudara mara mangsa.
Beberapa ahli keluarga membawa sepanduk yang berbunyi, “Bagaimana jika ia ayah… anak perempuan… abang?”
Menurut The Times of Israel, pada sesi khas tersebut, Netanyahu memberitahu keluarga mangsa kerajaan Israel memerlukan masa untuk membebaskan baki tebusan lebih 130 orang yang masih ditahan Hamas.
Netanyahu menambah dia secara peribadi menghubungi Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk campur tangan bagi pihak tebusan.
Malah isterinya Sara telah merayu secara langsung kepada Paus untuk membantu membebaskan tebusan Israel.
“Saya juga tidak memperincikan usaha yang kami lakukan pada masa ini dan saya rasa tidak betul untuk memperincikannya.
“Saya hanya ingin menekankan kami akan menggoncang setiap pokok dan membalikkan setiap batu untuk mengembalikan semua mangsa culik.
“Kami tidak akan berjaya membebaskan lebih 100 orang yang diculik setakat ini tanpa tekanan tentera. Segala tekanan yang kita lakukan: politik, perisikan dan usaha lain, tidak akan berjaya tanpa tekanan tentera,” kata Netanyahu.
Perjanjian gencatan senjata sementara pada penghujung November yang diuruskan oleh Qatar dan Mesir menyaksikan gencatan senjata selama tujuh sebagai pertukaran untuk Hamas membebaskan 105 tebusan Israel.
Manakala Israel membebaskan 240 tahanan Palestin yang kebanyakannya kanak-kanak bawah umur dan wanita.
Media sebelum ini melaporkan tiga tebusan terbunuh selepas ditembak oleh askar Israel sendiri yang menyangka mereka adalah anggota Hamas dan lima lagi ditemui maut yang didakwa mati akibat serangan bom tentera zionis. – Agensi