Pasukan perubatan membawa keluar mayat daripada hospital untuk dikebumikan.

WASHINGTON – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus mendesak kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk segera melaksanakan gencatan senjata kekal di Gaza.

Tegas Ketua Pengarah WHO Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus,  berdasarkan penelitian dengan mata oleh kakitangannya di Gaza, wilayah itu kini berdepan dengan bahaya besar.

Beliau menegaskan resolusi Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat lalu seolah-olah memberikan harapan untuk peningkatan dalam pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza namun ia belum lagi memberi sebarang kesan.

“Bagaimanapun, berdasarkan laporan saksi mata WHO di lapangan, resolusi itu secara tragis masih belum memberi kesan.

“Apa yang kami perlukan segera sekarang ialah gencatan senjata untuk menyelamatkan orang awam daripada keganasan selanjutnya dan memulakan jalan panjang ke arah pembinaan semula dan keamanan,” katanya dalam kenyataan.

WHO telah menjalankan misi mustahil yang berisiko tinggi untuk menghantar bekalan perubatan dengan rakan kongsi termasuk Tabung Kanak-kanak Pertubuhan PBB (UNICEF) ke hospital di utara dan selatan Gaza.

Pasukan WHO pada hari Selasa lalu telah melawat dua hospital – Al-Shifa di utara dan Persatuan Bulan Sabit Merah Al-Amal Palestine di selatan untuk menyampaikan bekalan dan menilai keperluan di lapangan.

Kedua-dua hospital berfungsi sebagai tempat perlindungan bagi pelarian yang mencari perlindungan daripada serangan bom Israel.

Katanya, di Hospital Al-Shifa, dilaporkan 50,000 orang sedang mencari perlindungan manakala di Al-Amal terdapat 14,000 orang.

Di Al-Shifa, WHO menyampaikan bahan api untuk memastikan perkhidmatan kesihatan penting berjalan.

“Dan sebagai sokongan kepada rakan kongsi NGO, World Central Kitchen (@WCKitchen), menghantar bahan untuk menyokong dapur di Al-Shifa.

“Bekalan perubatan juga dihantar ke sebuah farmasi yang akan bertindak sebagai hab bekalan perubatan untuk dihantar ke hospital lain, dan akan disokong oleh WHO dan rakan kongsi,” katanya.

Di Hospital Al-Amal petugas WHO melihat sendiri kesan daripada serangan Israel baru-baru ini yang melumpuhkan menara radio hospital dan menjejaskan sistem penghantaran ambulans pusat untuk seluruh kawasan Khan Younis yang menjejaskan lebih 1.5 juta orang.

Kakitangan WHO melaporkan adalah mustahil untuk berjalan di dalam hospital tanpa melangkah pesakit dan mereka yang mencari perlindungan.

Terdapat hanya beberapa tandas yang boleh digunakan di hospital dan bangunan komuniti bersebelahan serta pusat latihan PRCS untuk orang ramai yang berlindung di sana, kakitangan dan pesakit hospital.

Semasa transit merentasi Gaza kakitangan WHO menyaksikan puluhan ribu orang melarikan diri dari serangan hebat di Khan Younis dan kawasan tengah dengan berjalan kaki, menunggang keldai, atau dalam kereta.

Khemah-khemas yang menjadi tempat perlindungan sementara dilihat didirikan di sepanjang jalan.

“Hari ini saya mengulangi seruan saya kepada masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah segera untuk mengurangkan bahaya besar yang dihadapi penduduk Gaza dan menjejaskan keupayaan pekerja kemanusiaan untuk membantu mereka yang mengalami kecederaan teruk, kelaparan dan berisiko teruk dijangkiti penyakit,” katanya Dr. Tedros.- Agensi