KLANG – Seorang pembantu restoran dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, setelah didapati bersalah meliwat anak saudara perempuannya berusia tujuh tahun, di sebuah rumah di Banting, Selangor, tiga tahun lepas.
Hakim Syafeera Mohd Said memerintahkan tertuduh yang berusia 20 tahun itu, dipenjara dari tarikh jatuh hukum hari ini, selain mengenakan perintah kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii iaitu meliwat seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Banting, dekat sini pada 11.30 malam, 27 Mac 2020.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan.
Terdahulu, peguam Muhammad Syawal Mohd Razak yang mewakili tertuduh merayu supaya anak guamnya dikenakan bon berkelakuan baik dengan alasan lelaki itu masih muda.
Selain itu, tertuduh juga katanya tiada rekod lampau dan dia merupakan anak bongsu daripada 11 beradik yang telah hilang tempat bergantung selepas menjadi yatim piatu sejak berusia tujuh tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ayuni Jamri bagaimanapun menegaskan perlakuan tertuduh yang meliwat mangsa menunjukkan bahawa dirinya tiada sifat ihsan dan belas kasihan terhadap kanak-kanak.
“Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengambil kira kekerapan kes-kes jenayah berbentuk seksual terhadap kanak-kanak yang semakin meningkat dan berleluasa terutama sekali di Selangor. Hukuman berat dan berbentuk pengajaran perlu dikenakan kepada tertuduh agar insaf dan tidak sesekali mengulangi kesalahan jijik dan hina seperti ini,” katanya.
Sepanjang prosiding perbicaraan bermula 3 April lepas, seramai enam saksi masing-masing dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Di mahkamah sama, seorang pembantu gerai mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap rakan perempuannya berusia 17 tahun di sebuah pangsapuri di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada 1 tengah hari, 29 Oktober lepas.
Ahmad Iszhar Hardy, 20, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa.
Syafeera menetapkan 2 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – Bernama