SERI KEMBANGAN – Nga Kor Ming membayangkan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak akan diadakan dalam masa empat tahun akan datang.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, keutamaan KPKT pada waktu ini untuk fokus kepada tujuh bidang baharu yang ingin dilaksanakan.
Katanya, fokusnya kini lebih tertumpu kepada membangunkan dan mensejahterakan kehidupan rakyat dan bukannya pilihan raya PBT.
“Mengenai Pilihan Raya PBT, jawapan saya konsisten sejak awal menerajui kementerian ini. Keutamaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada waktu ini adalah memfokus kepada tujuh agenda yang saya umumkan pada hari pertama saya memikul amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri KPKT.
“Negara baru sahaja pulih daripada pergolakan politik pada Julai lalu (Pilihan Raya Negeri). Sekarang adalah waktu untuk meredakan suhu politik dan mefokuskan kepada kerja-kerja yang memberi manfaat serta mensejahterakan kehidupan rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Lawatan Kerja ke Pasar Bazar Rakyat di Seri Kembangan hari ini.
Mengulas lanjut pertanyaan wartawan berhubung perkara tersebut, Kor Ming menambah, perkara itu juga sudah dibincangkan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr.Zaliha Mustafa yang turut senada dan konsisten dengan keputusannya.
Katanya, Pilihan Raya PBT sudah dimansuhkan sejak tahun 1976 dan ia bukan lagi keutamaan bagi KPKT pada masa sekarang.
“Saya sentiasa berinterasi dengan Zaliha, kakak saya dan kami bekerja sebagai satu pasukan. Jawapan kami sangat konsisten dalam isu ini,” jelasnya lagi.
Baru-baru, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai dalam Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan mencadangkan supaya mengembalikan Pilihan Raya PBT sebagai usaha bagi memperkukuh demokrasi di Wilayah Persekutuan.
Namun, cadangan itu telah dibantah oleh PAS yang menyifatkan cadangan itu berbahaya dan boleh menyebabkan monopoli kaum disebabkan pecahan populasi mengikut kaum tidak seimbang khususnya di Wilayah Persekutuan.-MalaysiaGazette

















hahahahahahahahahahahahahhahahahhaahahahahaa