Boeing 737 Max. Foto Fox 8 News

VIRGINIA – Boeing menggesa syarikat penerbangan untuk memeriksa pesawat 737 Max untuk kemungkinan berlaku kelonggaran bolt dalam sistem kawalan kemudi.

Pembuat pesawat itu meminta pemeriksaan selepas pengendali antarabangsa menemui bolt dengan nat yang hilang, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Kemudi kapal terbang digunakan untuk mengawal pesawat semasa dalam penerbangan.

“Isu yang dikenal pasti pada pesawat tertentu telah dibetulkan.

“Kami mengesyorkan pengendali memeriksa kapal terbang 737 Max mereka dan memaklumkan kepada kami tentang sebarang penemuan.

“Kami telah memaklumkan kepada FAA dan pelanggan kami dan akan terus memaklumkan mereka tentang kemajuan,” kata Boeing.

FAA berkata, ia “memantau dengan teliti pemeriksaan sasaran pesawat Boeing 737 Max untuk mencari kemungkinan berlaku kelonggaran bolt tersebut.

Boeing telah mengesyorkan agar pemeriksaan yang hanya mengambil masa kira-kira dua jam dilakukan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Sebarang masalah yang melibatkan kemudi yang rosak mungkin akan dikenal pasti dalam pemeriksaan pra-penerbangan kerana kru secara rutin memeriksa sistem kemudi sebelum terbang, kata Boeing.

Anthony Brickhouse, pakar keselamatan udara di Embry-Riddle Aeronautical University berkata, syarikat penerbangan “perlu mengambilnya dengan serius”.

“Tetapi sebagai orang awam, saya tidak melihat ini sebagai isu yang perlu dibimbangkan,” katanya

Boeing 737 Max dibenarkan untuk menerbangkan penumpang sekali lagi oleh pengawal selia Amerika Syarikat pada 2020 setelah digantung selama 20 bulan di seluruh dunia selepas dua kemalangan besar mengorbankan 346 orang di Ethiopia dan Indonesia. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast