Anthony Loke
Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung pelantikan pakar perundangan bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam merupakan satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa tersebut.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, jawatankuasa tersebut ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Hal-Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah dan ia bertujuan menasihati majlis tersebut dengan cadangan-cadangan memperkasakan bidang tugas mahkamah syariah.

Menurut beliau, sebarang cadangan oleh jawatankuasa tersebut yang melibatkan sebarang pindaan undang-undang perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang seperti biasa.

Anthony menambah, perlu ditegaskan bahawa penubuhan jawatankuasa khas ini bukan ditentukan oleh Jemaah Menteri tetapi oleh MKI dan mereka melapor secara langsung kepada majlis berkenaan.

“Saya amat sedar bahawa kenyataan Koo Ham akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam.

“Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, FMT melaporkan, Koo Ham ketika membuat cadangan itu turut menyarankan agar kerajaan melibatkan Badan Peguam dalam jawatankuasa berkenaan, memandangkan badan berkanun itu dibentuk untuk memastikan undang-undang yang diluluskan adil dan saksama.

Jawatankuasa tersebut yang ditubuhkan awal bulan ini bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan Koo Ham itu dibantah oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin-pemimpin UMNO.

Anthony berkata, masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang dalam perkara itu kerana sekiranya sebarang pindaan undang-undang yang melibatkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Jemaah Menteri dan seterusnya proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen.

“DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama dan kaum merupakan tanggungjawab kita bersama.

“Marilah kita mengakhiri tahun 2023 ini dengan semangat yang harmoni dan menyumbang kepada Malaysia yang makmur dan sejahtera pada tahun 2024,” jelasnya. – MalaysiaGazette