Api marak dalam kebakaran kilang bihun di Kuala Ketil.

ALOR SETAR – Sebuah kilang bihun dekat Kawasan Perindustrian di Kuala Ketil musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II  Mohd Rahimi Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.26 pagi.

“Sepasukan anggota bersama jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Sungai Petani, Amanjaya, Kulim Hi-Tech dan Yan telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah bangunan kelas A dan tindakan pemadaman kebakaran telah dilakukan menggunakan enam aliran dan enam pancutan dari arah kiri dan kanan serta bahagian hadapan bangunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kebakaran yang tidak melibatkan mangsa itu berjaya dikawal sepenuhnya pada 5.20 pagi dan kerja-kerja overhaul telah dijalankan di lokasi kejadian.

“Kerja pemadaman itu dilakukan dengan kekuatan seramai 40 anggota dan turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela berdekatan,” katanya. — BERNAMA