petrol
Gambar fail: Stesen minyak Petronas

KUCHING – Sarawak telah menerima tambahan kira-kira 1.5 juta liter diesel susulan terputusnya bekalan bahan api itu di beberapa stesen minyak Petronas di negeri itu, baru-baru ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak memaklumkan bahawa penghantaran bahan api itu telah dijalankan oleh syarikat minyak berkenaan hari ini.

“Pemantauan dan pemeriksaan (bekalan) akan terus dijalankan KPDN,” menurut KPDN Sarawak dalam kenyataan hari ini.

Rabu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Petronas Dagangan Berhad sedang melaksanakan penghantaran bekalan tambahan diesel ke Sarawak dalam tempoh dua hari susulan terputusnya bekalan bahan api itu di stesen milik Petronas di negeri itu.

Kekurangan bekalan diesel bersubsidi di Sarawak dibangkitkan oleh Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen pada Isnin yang berkata situasi itu sudah berlaku sejak dua minggu lepas.

Menurut Chong, kegiatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menggunakan diesel bersubsidi untuk tujuan industri telah menyebabkan kuota untuk kegunaan orang ramai di negeri itu tidak mencukupi. – Bernama