Foto" APMM
KUALA PERLIS – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Perlis menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran kerana disyaki melakukan aktiviti menyeludup benih kerang secara haram di sekitar perairan Kuala Perlis lewat malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi tangkapan ketika sedang melakukan rondaan Op Aman, Op Tiris 2.0 dan Op Khas Mardof di sekitar kawasan perairan itu.
Tambah beliau, bot suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam pada kedudukan 0.95 batu nautika dari timur laut muara Sungai Perlis.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu berpengkalan di Kuala Perlis melakukan aktiviti menyeludup benih kerang secara haram,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Hashim, bot dikemudi oleh seorang tekong warga tempatan yang berumur 48 tahun bersendirian tanpa awak-awak.
Katanya, tekong, bot, enjin sangkut dan hasil tangkapan benih kerang yang dianggarkan bernilai hampir RM60,000 itu dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (a) dan Peraturan 9 (1) (Peraturan-peraturan Perikanan Pemuliharaan Kultur Kerang 2002) iaitu larangan menjual apa-apa benih kerang tanpa kebenaran. – MalaysiaGazette