KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menzahirkan kekesalan terhadap Kongres Uyghur Sedunia (WUC) yang menyatakan tindakan Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lepas sebagai tindakan penganas.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, WUC perlu memahami konteks penindasan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin selama 75 tahun.

“Kenyataan itu tidak tepat sama sekali, badan Uiyghur itu perlu sedar bahawa apa yang berlaku di Palestin bukan baru tercetus Oktober lepas tetapi sejak tahun 1948 lagi.

“Kita mahu WUC membetulkan sikap dan pendirian mereka  kerana Uyghur sebagai etnik Islam harus menunjukkan keselarian pendirian dengan umat islam seluruh dunia dan juga mereka yang cintakan keadilan pembebasan Palestin,” katanya kepada MalaysiaGazette.

WUC mengeluarkan kenyataan mengecam serangan yang didakwa sebagai serangan terhadap orang awam pada 9 Oktober lalu, dua hari selepas serangan mengejut Hamas terhadap Israel.

Mohd Azmi tidak menolak kemungkinan bahawa organisasi Uyghur itu berkemungkinan dinaungi negara Barat.

“Saya fikir mungkin ada pengaruh negara Barat sebab mereka bertapak di sana. Maka ia jelas mempamerkan mereka membawa agenda Barat sekali gus mencalarkan imej Uyghur hingga mampu dipandang serong oleh masyarakat antarabangsa,” jelasnya.

Selain itu, beliau berharap persatuan Uyghur di Malaysia seperti Organisasi Perhubungan Uyghur – Malaysia (UMRO) dapat menyatakan pendirian sokongan mereka dengan jelas berhubung isu Palestin-Israel.

“Jika UMRO mahu buktikan kehadiran mereka di negara ini tidak perlu disangsikan, mereka seharusnya menyatakan dengan tegas dan jelas pendirian mereka berhubung isu Palestin.

“Adakah mereka menyokong WUC atau mereka menentang tindakan organisasi itu, ia harus dinyatakan mereka dengan segera,” katanya.

UMRO adalah inisiatif yang dicetuskan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama Kesatuan Antarabangsa Pertubuhan Turkistan Timur (IUETO).

Sekurang-kurangnya 21,000 penduduk Palestin termasuk lebih 8,800 kanak-kanak dan lebih 6,300 wanita terbunuh sejak bermulanya kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada 7 Oktober. – MalaysiaGazette