Chow Kon Yeow pada sidang media di Komtar, Pulau Pinang hari ini. Gambar ihsan - FB CKY

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengambil lima tindakan segera berhubung kejadian saluran paip pecah di dasar Sungai Perai, Butterworth baru-baru ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan pihaknya telah menerima laporan ‘post mortem’ awal daripada PBAPP berhubung insiden tersebut.

Bagaimanapun, Kon Yeow menegaskan, punca kejadian paip itu pecah tidak diketahui dan sukar untuk dipastikan kerana saluran paip terletak bawah permukaan air iaitu 3.5 meter di dasar Sungai Perai.

“Antara tindakan yang kita arahkan PBAPP lakukan ialah mereka perlu memantau keadaan saluran paip dasar Sungai Perai yang dibaiki setiap hari sehingga penyelesaian kekal dapat dilaksanakan.

“Penyelesaian kekal yang dimaksudkan ialah memasang saluran paip merentasi sungai yang akan disokong oleh struktur di atas permukaan sungai dengan anggaran kos RM5 juta dan ia harus disiapkan secepat mungkin pada tahun depan bagi membolehkan pemeriksaan berkala dilaksanakan sekali gus mengelak perkara sama berulang.

“PBAPP perlu kesan dan laporkan lokasi saluran paip bawah permukaan air yang lain di negeri ini selain menjalankan pemeriksaan khusus dalam air bagi semua saluran paip lain untuk memastikan jika terdapat sebarang bahaya atau risiko kemalangan yang serupa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Kon Yeow,  pasukan pakar juga diarahkan untuk memeriksa secara berkala semua saluran paip utama (900mm dan ke atas) yang berada di atas tanah.

“Mereka perlu teroka kaedah untuk mengesan potensi kecacatan atau kegagalan semua saluran paip utama yang tertanam (900mm dan ke atas) selain mempercepatkan penggantian saluran paip utama yang  usang (900mm dan ke atas).

“Bukan saja itu, PBAPP juga perlu memastikan pemulihan perkhidmatan bekalan air untuk 590,000 pengguna air yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual yang dijadualkan 10 Januari depan telah diumumkan sebelum pada 13 Disember lalu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 200,000 pengguna di Daerah Barat Daya dan Seberang Perai mengalami gangguan bekalan air susulan penutupan sementara saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai pada 18 Disember lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast