Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bukan semua tempat letak kereta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh digunakan tanpa bayaran selepas waktu pejabat.

Bagaimanapun, sejumlah 11 tempat letak kereta DBKL telah dilesenkan sebagai joki parkir di sekitar Kuala Lumpur.

“Pada masa yang sama, DBKL telah menyewakan urusan parking (parkir) ini kepada syarikat persendirian untuk menguruskan lapan petak letak kereta secara joki yang beroperasi selepas waktu pejabat.

“Pihak operator joki telah diarahkan meletakkan papan tanda makluman operasi TLK joki di tapak berkenaan dengan segera bagi memastikan orang awam maklum mengenai perkhidmatan tersebut,” kata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi kenyataan, hari ini.

DBKL memberikan reaksi itu susulan laporan berhubung ulat parkir yang mengenakan caj parkir di Bukit Bintang.

Namun, siasatan yang diakukan mendapati, tapak yang dimaksudkan adalah tempat letak kereta terbuka di tepi lorong Off Jalan Sultan Ismail.

Katanya, tempat letak kereta itu merupakan petak parkir di bawah kawalan DBKL yang turut dikenakan bayaran.

“Bayaran dikenakan pada waktu pejabat iaitu sehingga pukul 5 petang,” ujarnya.

Menurut DBKL, pihaknya memandang serius sindiket ulat parkir di sekitar ibu negara dan untuk rekod seramai 75 ulat parkir telah diambil tindakan sejak tahun 2022 sehingga sekarang di bawah Seksyen 50(3) dan Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, DBKL berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih kerap di kawasan tumpuan ulat parkir iaitu di Bukit Bintang, Jalan Beremi dan Jalan Walter Grenier bagi membanteras ulat parkir.

“DBKL juga ingin menasihatkan orang awam supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian terutama di kawasan pusat bandar bagi mengurangkan kesesakan lalulintas serta membantu usaha DBKL mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Terdahulu sebelum ini, seorang pengguna TikTok memuat naik sebuah video memaparkan kesan calar pada keretanya di tepi jalan di Bukit Bintang kerana enggan membayar kepada ulat parkir.

Menerusi video itu, individu terbabit berkata, kejadian berlaku di kawasan berdekatan Maybank Bukit Bintang.

Dakwanya, bayaran dikenakan sebanyak RM15 untuk setiap kereta.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mengatakan pernah berada dalam situasi sama dan mengalah untuk membayar walaupun rasa kesal dikenakan caj tak masuk akal.

Segelintir netizen mendakwa, sudah bertahun-tahun ulat parkir melakukan kegiatan itu namun tidak pernah dengar adakah sudah ada tindakan daripada pihak berkuasa.

Menurut individu itu, dia juga telah membuat aduan kepada pihak DBKL dan mendapati tiada kebenaran untuk mengutip bayaran parkir di kawasan terbabit. – MalaysiaGazette