Exco Hal Ehwal Agama Islam Dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad

KUANTAN – Penyudah bagi 2023 yang bakal melabuhkan tirai peghujung tahun ini diakhiri dengan pelbagai aktiviti dakwah dan keagamaan di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri sentiasa istiqamah menyediakan wadah ilmu dalam memartabatkan kesucian agama Islam di Pahang.

Bahkan agenda dakwah itu dijalankan sama ada berbentuk skala kecil mahupun besar di semua daerah selain memberi pendedahan kepada saudara baharu bagi mengenal serta menjiwai Islam melalui program dakwah.

“Semalam, himpunan majlis Murabbi di stadium mencecah 10 ribu pengunjung, tahniah kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) atas penganjuran aktiviti seperti ini.

”Program seumpama ini kita memang sentiasa anjurkan dan sentiasa akan diteruskan ke tahun hadapan, Insya-Allah. Bismillah, semoga permulaan yang baik untuk tahun 2024

”Alhamdulillah kiranya untuk tahun 2023 ini sahaja 10 ulamak besar dan bertaraf antarabangsa hadir menjejakkan kaki ke bumi Pahang ini memeriahkan majlis ilmu,” katanya.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kerdau itu berkata demikian ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini menzahirkan rasa kesyukuran apabila program-program berbentuk islamik yang dianjurkan sepanjang tahun ini mendapat sambutan dan maklum balas yang baik.

Semalam, lebih 10,000 pengunjung menghadiri Majlis Bicara Murabbi Ummah Sempena Karnival Sambutan Tahun Baru 2024 disertai oleh penceramah terkenal, Prof. Dr Abdul Samad Batubara di Stadium Darul Makmur yang diadakan sempena penutup tahun ini.

Selain itu kuliah dhuha juga disampaikan oleh tokoh ilmuan agama itu juga diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Indera Mahkota, Kuantan pada hari ini.

Manakala ambutan kesyukuran memasuki tahun baru 2024 ini pula diraikan dengan program ’Healing sampai pagi’ dengan melakukan Solat Tahajud di Menara 188, Kuantan pada 4.30 pagi esok. – MalaysiaGazette