Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berucap pada Himpunan Kepung Demi Palestin di Jalan Tun Razak. Foto SYADILA AMARI, 31 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Israel sebenarnya telah kalah selepas sehingga kini gagal mengalahkan Hamas dan kumpulan jihad Islam yang hanya merupakan pertubuhan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, selama lebih tiga bulan Israel masih menggunakan alasan memburu pejuang jihad Islam yang akhirnya membunuh puluhan ribu rakyat Palestin yang tidak berdosa.

“Sebenarnya Israel telah kalah, mereka bertarung dengan Hamas kumpulan jihad. Mereka hanya pertubuhan, Israel nak melanyak hamas, dalam masa seminggu atau dua sekarang sudah tiga bulan, Hamas tidak dapat dikalahkan.

“Siapa yang mereka bunuh? Kanak-kanak, wanita. Lebih kurang 22,000 penduduk Gaza dibunuh, 2/3 daripadanya merupakan kanak-kanak dan wanita. Israel tidak dapat mengalahkan pejuang Hamas dan sekarang mereka berperang pula dengan Hezbollah di sempadan sebelah Utara dan kumpulan jihad Islam lebih keci,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Himpunan Kepung Demi Palestin yang diadakan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak.

Himpunan berkenaan yang disertai pelbagai aktivis, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil parti politik mula berkemah di kawasan tersebut sejak 26 Disember lalu.

Aksi selama enam hari itu merupakan respon terhadap tindakan AS yang berterusan menggunakan kuasa veto untuk mensabotaj usaha perdamaian di Palestin.

Walaubagaimanapun, Mat Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yakin Palestin akan mencapai kemerdekaan daripada rajin zionis melalui kesepaduan dunia.

Jumaat lalu, harapan masyarakat dunia untuk menyaksikan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengakhiri perang di Gaza menerusi resolusi gencatan senjata gagal apabila badan dunia itu hanya meluluskan resolusi berkaitan bantuan kemanusiaan.-MalaysiaGazette