Mohd Fared menghadiri program Batu Pahat Berselawat di Masjid Taman Sri Sulung, Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – Kerajaan Johor bercadang menyewa bangunan kediaman di Jordan bagi membantu meringankan beban pelajar dari negeri itu di sana.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, setakat ini, seramai 250 pelajar dari negeri itu sedang melanjutkan pengajian di Jordan dalam bidang keagamaan.

“Sebenarnya kita menerima permintaan daripada pelajar yang mahukan kemudahan asrama kediaman kerana kos sara hidup di Jordan semakin meningkat.

“Kerajaan negeri sebenarnya telah menyewa dua buah bangunan di Mesir yang akan dijadikan sebagai asrama pelajar dan mengikut rekod seramai 354 orang akan ditempatkan di bangunan yang telah dibaik pulih dengan kos sebanyak RM8.4 juta,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semerah berkata demikian selepas menghadiri program Batu Pahat Berselawat di Masjid Taman Sri Sulung di sini hari ini.

Perkara itu dinyatakannya ketika mengulas lawatan daripada kerajaan negeri dan sumbangan yang telah diberikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada anak-anak Johor yang melanjutkan pengajian di Mesir dan Jordan baru-baru ini.

Menurut Mohd Fared, seramai 354 pelajar anak Johor di Mesir menerima sumbangan Kerajaan Johor dengan nilai keseluruhan RM88,500 sementara di Jordan, sumbangan sebanyak RM62,500 kepada 250 pelajar.

“Kerajaan Johor juga bersetuju memberikan sumbangan kepada Persatuan Pelajar Johor Mesir sebanyak RM50,000 bagi tujuan memperbanyakkan lagi program-program bersama pelajar yang akan diatur bersama dengan Pejabat Atase Johor Mesir,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast