GAZA CITY – Rejim Israel diaporkan melakukan 21 pembunuhan beramai-ramai dalam tempoh 24 jam sehingga mengakibatkan 150 syahid dan 286 cedera pada Sabtu lalu.
Agensi berita Al Mayadeen melaporkan, angka kematian akibat pencerobohan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 21,822 syahid dengan 56,451 cedera.
Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera penceroboh di pelbagai kawasan dengan 48 terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kejiranan al-Zaytun di Bandar Gaza.
Dalam satu lagi serangan, 40 rakyat Palestin terbunuh dalam serbuan pesawat pejuang Israel ke atas sebuah rumah di kawasan kejiranan al-Sabra, selatan Kota Gaza dengan kebanyakan mayat para syuhada masih berada di bawah runtuhan.
Selain itu, 20 rakyat Palestin mati syahid dalam sasaran Israel terhadap Universiti al-Aqsa.
Lapan syahid dari keluarga Qandeel termasuk seorang bayi yang baru lahir terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah rumah di kem al-Maghazi.
Tentera pendudukan Israel juga menyasarkan sebuah masjid dan sebuah apartmen di Menara Hadil di kem tersebut.
Artileri Israel juga menyasarkan kawasan utara Semenanjung, di mana mayat 15 syuhada Palestin daripada keluarga Hammouda ditemui dari bawah runtuhan rumah mereka yang menjadi sasaran pasukan pendudukan di Jabalia. – Agensi