Rosli Abdul Jabar

KUANTAN – Medan politik mesti disantuni dengan ‘warna Islam’ walaupun setelah sekian lama masyarakat memandangnya sebagai suatu yang terpisah dari agama, kata Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar.

Menurutnya, sekiranya memisahkan daripada ‘warna Islam’ ia menjadikan pemain-pemain politik  tidak menjadikan agama sebagai pedoman dalam berpolitik.

Jelas Rosli, pemimpin politik seharusnya istiqamah dalam perjuangan untuk menegakkan Islam secara berterusan.

”Jika tidak diwarnakan Islam, pemain politik terpalit dengan pelbagai jenayah seperti rasuah, penyelewengan harta rakyat dan lain-lain, malahan ada pemimpin yang sanggup menipu rakyat demi kepentingan politiknya.

”Pemimpin yang sebegini kebiasaannya mengunakan kuasa untuk mencengkam rakyatnya dan mencekik musuh politiknya kerana itulah pentingnya istiqamah yang dibina di atas dasar keyakinan kepada Allah.

”Perjuangan untuk menegakkan Islam telah dijanjikan oleh Allah swt dengan kemenangan dengan beberapa syarat, di antara syaratnya ialah istiqamah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur itu berkata demikian menerusi kenyataan dalam perutusan sempena memasuki tahun baharu 2024 hari ini.

”Kita juga mesti istiqamah dalam melaksanakan tuntutan syariat secara keseluruhannya disamping terus menerus berdakwah agar Islam ini dapat difahami secara tepat dan menyeluruh.

”Insya-Allah dengan tekad dan semangat untuk melihat Islam di daulatkan, kita akan merempuh apa jua halangan, setiap saat, hari, minggu, bulan dan tahun yang bertukar ini kita lalui dengan penuh keyakinan bahawa semakin kita istiqamah maka semakin hampir kita dengan kemenangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ironisnya parti hang paling bnyk kalah saman fitnah,islam apa yg parti hang bawak? Sembang

Comments are closed.