KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak merancang untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya bagi negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah berikutan lat tempoh yang masih berkuat kuasa.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ia hanya boleh dilaksanakan apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun bagi Sarawak pula, katanya, SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan tersebut.
“Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri.
“Bagi maksud tersebut, urusan kajian semula persempadanan terdahulu bagi negeri-negeri di Semenanjung telah selesai dijalankan pada 2018 manakala, bagi Sarawak dan Sabah pula adalah masing-masing pada 2015 dan 2017.
“Sesuatu syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri oleh SPR serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Ghani menambah, SPR di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dari semasa ke semasa, sebagaimana difikirkan perlu, bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri-negeri berlandaskan kepada prinsip dan tatacara yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas, Bahagian I dan II, Perlembagaan Persekutuan.
Menjelaskan kriteria yang perlu dipertimbangkan untuk mewajarkan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya, Abdul Ghani berkata, terdapat empat prinsip bagi urusan itu.
Pertama, kewajaran memudahkan diadakan bagi pemilih diberi peluang keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian-bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri.
“Kedua, mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian.
“Ketiga, bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan kesukaran lain yang dihadapi bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan.
“Keempat, perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan,” katanya dalam kenyataan,
Justeru beliau berkata, SPR akan terus bersedia melaksanakan tanggungjawab yang diberikan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Semoga kita sentiasa diberkati dan dipermudah segala urusan pada Tahun Baharu 2024 ini.
“Marilah kita bersama-sama melangkah dengan lebih gagah, yakin dan berani dengan semangat dan iltizam baharu demi memastikan demokrasi di negara kita terus mekar dan subur,” ujarnya. – MalaysiaGazette